Laluan utama Gua Musang sesak, perantau pulang sambut Aidilfitri

Gua Musang semakin sesak dengan kenderaan apabila perantau pulang ke kampung halaman

GUA MUSANG, 19 Mac – Laluan pintu masuk utama Kelantan di daerah Gua Musang semakin sesak dengan kenderaan apabila perantau pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjalanan pulang dari Lembah Klang mengambil masa lebih 12 jam; pernah hampir 20 jam bagi yang bertolak lewat.
  • Jika bertolak sebelum 5 pagi, perjalanan kira-kira enam jam; bertolak lewat menyebabkan kesesakan teruk di tol Gombak dan Raub.
  • Polis menjangka kenderaan meningkat; pemantauan dan kawalan trafik dipertingkat untuk melancarkan pergerakan.

Tinjauan RTM mendapati, perjalanan pulang perantau dari Lembah Klang mengambil masa lebih 12 jam berikutan pertambahan jumlah kenderaan di laluan utama.

Situasi itu menyebabkan sesetengah pemandu terpaksa menggunakan laluan alternatif atau berhenti seketika bagi mengelak kesesakan.

“Semalam, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gua Musang melalui Karak dilaporkan sesak, terutama di lebuh raya menuju Mentara. Kesesakan berkurangan apabila lorong sempit dua menjadi satu lorong. Namun, dengan semakin ramai perantau pulang ke kampung, jumlah kenderaan dijangka terus meningkat. Pagi tadi, walaupun bertolak awal, beliau mendapati trafik semakin padat akibat ramai yang cuba mengejar masa”, kata pengguna jalan raya, Mohd Yusoff Mohamad.

“Biasanya perjalanan mengambil masa lebih 12 jam, malah pernah hampir 20 jam. Keadaan ini berlaku setiap tahun, tetapi tahun ini ramai yang bertolak lebih awal. Jika bertolak sebelum pukul 5 pagi, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira enam jam. Bagaimanapun, bagi yang bertolak selepas waktu itu, kesesakan terutamanya di tol Gombak dan Raub lebih ketara kerana jumlah kenderaan yang banyak”, ujar pengguna jalan raya Nurliayana Aainal Abidin.

“Saya memulakan perjalanan dari rumah pada pukul 4.30 pagi dan terus balik tanpa berhenti di mana-mana. Kesesakan hanya berlaku di kawasan Padang Tengku kerana jalan yang sempit dan kerja-kerja pembaikan yang masih belum siap. Laluan lain, termasuk Jalan Sungai Koyan, dilalui dengan lancar tanpa sebarang kesesakan”, ujar pengguna jalan Wan Habibullah Wan Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menjangkakan jumlah kenderaan terus meningkat apabila lebih ramai perantau pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Katanya, kesesakan tertumpu di beberapa lokasi termasuk laluan sempit dan pintu masuk di Kampung Mentara dan sempadan Merapoh, Pahang.

Ujarnya, pemantauan dan kawalan trafik akan dipertingkatkan bagi melancarkan pergerakan kenderaan.