PETALING JAYA, 15 Disember- Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan rutin siasatan yang memasuki hari ke-8, di sekitar anak sungai Blok R Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, hari ini.
Lebih 15 petugas forensik dan jurukamera dari IPK Selangor dan Bukit Aman dikerah untuk meneruskan rutin siasatan hari ini.
Siasatan diteruskan dengan sesi lakonan semula berdasarkan keterangan dua saksi kanak-kanak, masing-masing berusia enam dan sembilan tahun.
Berdasarkan pemantauan RTM di lokasi seawal pukul 10.00pagi, anggota forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dilihat bersama saksi kanak-kanak lelaki dan ibu kepada arwah Zayn Rayyan Matiin, 6 tahun ke lokasi kehilangan mangsa bagi membantu gerak kerja lakonan semula yang terletak kira-kira 200 meter daripada lokasi mangsa ditemukan.
Pihak media juga tidak dibenarkan berada berhampiran lokasi siasatan bagi memastikan siasatan berjalan lancar.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa polis mendapat petunjuk baharu berhubung siasatan kes berkenaan apabila dua saksi kanak-kanak yang mendakwa melihat arwah Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga di Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada pukul 5.00 petang, 5 Disember lalu sebelum dilaporkan hilang.
Tambah Datuk Hussein, petunjuk baharu itu diperoleh menerusi operasi mencari bukti secara besar-besaran membabitkan penduduk Pangsapuri Idaman.