fb fb fb fb fb

Lagu 'Moh Lah Weh Bayar Cukai Tanah' beri kesedaran rakyat Pahang bayar cukai

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LIPIS, 1 Jun - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memuji usaha Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang menggunakan lagu rakyat untuk menarik perhatian orang ramai membayar cukai.

Beliau berharap RTM akan terus membantu dalam melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat negerinya dalam kewajipan mereka membayar cukai.

"Dan beberapa pembaharuan kita buat dan yang paling menariknya ialah lagu kita bayar cukai ini, saya pun nak hafal lagu itu, tajuknya ialah 'Moh Lah Weh Bayar Cukai Tanah', jadi saya harap pihak RTM dapat memainkan lagu ini untuk mengingatkan kita," kata Wan Rosdy kepada pemberita, di sini.

Lagu 'Moh Lah Weh Bayar Cukai Tanah' bahasa atau loghat Pahang itu dinyanyikan oleh kumpulan artis tempatan dari negeri Pahang.

Sementara itu wakil RTM Mohd Hezry Azran Mohd Khairi berkata, lirik lagu itu ditulis oleh Datuk Indra dengan kerjasama PTG Pahang.

"Lagu Moh Lah Weh Bayar Cukai Tanah' ini dihasilkan oleh pihak PTG yang mana merupakan inisiatif yang terbaik yang dihasilkan oleh pihak PTG sendiri dalam memupuk kesedaran orang ramai untuk membayar cukai tanah.

"Sebenarnya yang menarik sekali tentang lagu ini ia dinyanyikan oleh pengkarya yang juga penyanyi negeri Pahang. Proses untuk merakam dan menyiapkan lagu itu mengambil masa kira-kira 24 jam." kata Hezry.

TETITIA YUSOFF