fb fb fb fb fb

Lagi serangan Pak Belang, lelaki Myanmar ditemukan maut putus kaki kiri

FOTO PDRM

JELI, 17 Oktober- Seorang lelaki Myanmar ditemui mati dengan paha kirinya putus disyaki dibaham harimau di hutan berdekatan ladang cili di Jalan Timur Barat Jeli-Grik, Batu Melintang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Saari Yaacob berkata, mayat mangsa ditemui rakannya pukul 9.15 pagi tadi, kira-kira 300 meter dari rumah kongsi di hutan berdekatan.
 
Mangsa disedari hilang selepas rakannya (pengadu) terdengar bunyi harimau mengaum berdekatan ladang mereka bekerja.

Selepas membuat laporan di Balai Polis Batu Melintang, Timbalan Ketua Polis Daerah bersama anggota, PERHILITAN Jeli serta orang awam bergegas ke lokasi kejadian bagi menyiasat dan mencari mangsa.

Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati kesan kecederaan gigitan di leher dan rahang bahagian kiri dan kanan, kesan cakar dibelakang badan dan dada mangsa. 

Jelas Supt Saari, ketika ditemukan, tulang dan kaki kiri mangsa berada di sebelah badan.

Hasil siasatan juga mendapati, mangsa dipercayai cuba melepaskan diri beberapa kali namun gagal.

Katanya, laluan ke lokasi kejadian perlu melalui jalan berbukit, sungai dan kebun sayur.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Jeli bagi tujuan bedah siasat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE