KAJANG, 19 Disember- Sebanyak 100 poin pengecas kenderaan elektrik (EV) disasarkan bakal dibina di lebuh raya bertol terutama Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjelang 2025.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sasaran itu mengambil kira keperluan pengguna EV yang semakin meningkat.
"Kita ingin tambah lagi 100 pengecas di lebuh raya bertol di seluruh Malaysia, yang sekarang ini sudah ada 60 (pengecas).
"(Kesemua) 60 dan 100 (pengecas) ini dibina di 33 kawasan lebuh raya bertol yang dikendalikan LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia)," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas sesi lawatan kerja ke LLM.
Terdahulu, beliau diberi taklimat pengurusan trafik selama hampir dua jam termasuk dibawa melawat ke pusat pengurusan trafik dengan diiringi Ketua Pengarah LLM, Sazali Harun.
LLM mengawal selia lebuh raya bertol termasuk PLUS, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dengan keseluruhannya sepanjang 2,080 kilometer.