fb fb fb fb fb

Ladang benih padi bakal diwujudkan di Melaka

Foto FB Exco

AYER KEROH, 28 November- Melaka bakal mewujudkan ladang benih padi pertama di negeri itu.

Usaha itu direalisasikan menerusi peruntukan RM300,000 menerusi Projek Pengeluaran Benih Padi Sah yang dibentangkan Ketua Menteri dalam Bajet 2024 Negeri Melaka, pada Isnin.
 
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ladang itu akan dibangunkan di sekitar kawasan Merlimau, Jasin membabitkan keluasan 32 hektar.
 
Katanya, usaha tersebut dilaksana berikutan Kadar Sara Diri (SSR) beras Melaka yang hanya mencapai 9.8% sahaja dan beliau menjangkakan peratusan SSR akan meningkat kepada 19% dalam tempoh dua tahun pertama ia beroperasi.
 
"Rentetan daripada langkah masa panjang itu, kita mesti meningkatkan pengeluaran padi. Apabila kita pergi ke peringkat bawahan, rupa-rupanya rata-rata pesawah kita dapat benih padi sah jenis lama. Sudah tentulah, hasilnya tidak boleh mencecah berlipat kali ganda.

Melaka ini bukan negeri jelapang padi, maka mereka ini dapat hasil hujung-hujung sebab baru menjadi. Oleh itu, kerajaan negeri Melaka akan mewujudkan ladang benih padi sah yang pertama diuruskan kerajaan negeri dan benih padi itu akan dijual kepada pesawah negeri Melaka terlebih dahulu," kata Dr. Akmal kepada pemberita dalam sidang media Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini.
 
Tambahnya, seramai 17 orang pesawah akan terlibat dalam projek rintis tersebut dimana kerajaan akan memberikan benih jenis MR297, yang lebih tahan air dan terhindar daripada kerosakan sekiranya berlaku bencana banjir atau hujan berpanjangan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM