fb fb fb fb fb

LADA anjur program kacau bubur asyura semarak Muharam

FOTO RTM

LANGKAWI, 24 Julai – Sempena bulan Muharam, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Usahanita Langkawi dan Puspanita LADA menganjurkan program Jom! Kacau Bubur Asyura Bersama Komuniti Langkawi 2025.

Program yang berlangsung di perkarangan LADA itu disertai 15 pasukan mewakili komuniti dari seluruh daerah Langkawi.

Menjadikannya lebih menarik, semua peserta mengenakan busana Melayu klasik, menyerikan lagi suasana tradisi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, Ahmad Fuad Che Ani berkata, program itu adalah antara pendekatan LADA untuk mendekati komuniti dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.

“Aktiviti seperti ini yang melibatkan komuniti tempatan dengan pemain industri pelancongan akan menambahkan lagi keceriaan dan menonjolkan produk makanan tradisional dalam sektor pelancongan di Langkawi,” katanya.

Antara pengisian program termasuk pertandingan Bubur Asyura Paling Sedap, pertandingan gerai tercantik serta pakaian bertemakan tradisional.

Bubur asyura yang dimasak kemudiannya diagihkan kepada orang ramai, menjadi hidangan istimewa yang menyatukan rasa, nilai simbolik dan semangat kebersamaan bersempena bulan Muharam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE