KUALA LUMPUR, 22 Mac- Labuan sebagai hub kewangan perlu diperluaskan secara holistik agar wilayah itu mampu menjadi destinasi berdaya saing yang tinggi dengan negara lain sekali gus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menjadi pilihan kepada pelabur antarabangsa.
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Labuan mempunyai lokasi yang strategik untuk menarik para pelabur dalam bidang kewangan antarabangsa untuk melabur di negara ini.
Katanya, Labuan yang kini merupakan pusat kewangan antarabangsa perlu mendapat perhatian daripada Kerajaan Persekutuan, agar perancangan itu dapat dilaksanakan dengan baik.
Di samping itu juga, kerancakkan ekonomi di pulau ini memberikan kesan yang positif dengan kawasan sekitarnya, khususnya negeri Sabah kerana dapat menerima impaknya hasil pertumbuhan mampan itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama asnaf dan pemimpin masyarakat di Labuan.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada 100 penerima asnaf di pulau itu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan merangkap Naib Presiden Datuk Jaujan Sambakong dan Ketua Bahagian Parti Warisan Bahagian Labuan Datuk Rozman Isli.