KUALA LUMPUR, 11 Mac- Jabatan Pertanian menegaskan kualiti benih padi sah boleh dipengaruhi oleh faktor penyimpanan, pengendalian dan tempoh antara pengesahan serta penggunaan oleh pesawah.
Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menjalankan pemeriksaan ladang, audit premis, semakan dokumentasi dan ujian kualiti.
"Ia bagi memastikan benih mematuhi piawaian ditetapkan, termasuk Standard Jabatan Pertanian Malaysia 2021, Malaysian Standard (MS) dan peraturan The International Seed Testing Association (ISTA).
"Selepas benih diperakui, tanggungjawab kualiti terletak pada pengeluar, manakala aspek penyimpanan dan pengedaran di luar bidang kuasa jabatan pertanian," menurut kenyataan itu.
Jabatan Pertanian turut menggalakkan pesawah menyimpan label benih agar tidak menggunakan benih melepasi tarikh ditetapkan bagi memudahkan siasatan sekiranya berlaku aduan.
Pesawah juga disaran merujuk panduan Rice Check untuk pengurusan tanaman yang lebih sistematik, sekali gus meningkatkan produktiviti hasil padi.