fb fb fb fb fb

KWSP dijangka umum inisiatif akaun 3 pada April ini

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 29 Februari - Pelbagai strategi dan insentif diperkenalkan kerajaan dalam usaha meningkatkan semula simpanan wang persaraan rakyat. 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini termasuk insentif khas sebanyak 15% daripada jumlah caruman hingga maksimum RM500 setahun bagi caruman padanan kerajaan bawah program i-Saraan tertakluk kepada had maksimum RM5,000 seumur hidup bagi seorang individu yang diumumkan pada Belanjawan 2024. 

"Tahun lalu, insentif caruman sebanyak RM500 secara one-off juga diberi untuk membantu ahli yang mempunyai simpanan rendah yang menghampiri usia persaraan untuk menambah dan mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka," jelas Amir Hamzah menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Hassan bertanya mengenai usaha kerajaan untuk mengatasi masalah 35% ahli KWSP berumur 54 tahun yang simpanan mereka untuk hari tua berada bawah RM10,000 sahaja.  

Dalam pada itu Amir Hamzah berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan inisiatif 'Akaun Fleksibel' atau Akaun 3 pada April ini, merangkumi mekanisme serta kelonggaran pengeluaran kepada pencarum.

Beliau berkata, mekanisme mengenai Akaun 3 itu akan diperjelaskan kepada pencarum selepas KWSP mengumumkan agihan dividen pada Ahad ini.

"Mereka (KWSP) juga akan menyatakan dan menerangkan cara-cara pengeluaran, mekanisme yang ada di mana pemecahan akaun tiga akan diterangkan," katanya menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai status terkini Akaun 3 khususnya berkaitan kaedah pengeluaran pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Amir Hamzah, kerajaan tidak melihat kepada sebarang pengeluaran secara bersasar kerana ia akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan.

"Kerajaan tidak melihat kepada pengeluaran bersasar kerana akan ada juga kelonggaran dalam Akaun 3 itu," jelasnya.

TETITIA YUSOFF