fb fb fb fb fb

KWAP iktiraf sumbangan pesara sektor awam yang kekal aktif

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed

KUALA LUMPUR, 20 Disember- Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mengiktiraf sumbangan pesara sektor awam yang kekal aktif berkhidmat kepada masyarakat dalam fasa persaraan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, KWAP menyambut baik usaha kerajaan memperkasa pesara sektor awam melalui inisiatif Anugerah MyPesara.

"Anugerah MyPesara 2023 ini adalah sebagai pengiktirafan kepada pesara-pesara sektor awam iaitu pesara-pesara kerajaan yang telah menyumbang jasa bakti mereka walaupun telah bersara, masih kekal berkhidmat untuk masyarakat sekeliling, ini juga bertepatan dengan slogan KWAP iaitu 'Teman Persaraan Anda'", katanya.

Sementara itu, pemenang hadiah utama Anugerah MyPesara, Prof Emiritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, anugerah yang diberi merupakan satu penghargaan, disamping memberi motivasi untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

"Kita bila keluar bersara, kita mesti memberi bantuan dan juga sokongan kepada terutamanya generasi akan datang dan juga kepada rakan-rakan yang telah berpencen, yang telah bersara, kerana ini penting kerana siapa yang hendak membantu warga Malaysia kita kalau tidak mereka yang telah berpengalaman", katanya.

Tiga kategori dipertandingkan pada acara tersebut iaitu keusahawanan, pendidikan, sosial dan khidmat masyarakat menyaksikan lapan pemenang menerima anugerah mengikut kategori masing-masing.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) ,Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Shaiful Ibrahim.

ROSLINA BINTI DIN