
KUALA LUMPUR, 11 April – Langkah sokongan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi peningkatan tekanan kos sedang dirangka Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
- Fokus pada langkah praktikal untuk bantu PMKS urus kos operasi, tingkatkan aliran tunai dan capai kecekapan tenaga.
- Galakkan penggunaan skim Time-of-Use, penyelarasan insentif dan tarif elektrik lebih sesuai untuk mengurangkan kos operasi PMKS.
- Perluas akses tenaga boleh baharu dan solar melalui model pembiayaan fleksibel seperti zero capex, sejajar agenda ESG.
- Perkukuh latihan kewangan dan pengembangan perniagaan melalui INSKEN serta libatkan PMKS dalam sektor tenaga baru: solar, EV dan pusat data.
Kerjasama dijalin hasil pertemuan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim dengan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad di sini pada Jumaat.
Perbincangan memberi fokus kepada langkah praktikal membantu PMKS mengurus kos operasi, menambah baik aliran tunai dan mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (RE).
“Pertemuan ini susulan krisis tenaga global yang memberi tekanan besar kepada PMKS, khususnya dari segi kos elektrik dan operasi harian. Kerjasama KUSKOP dan TNB bertujuan membantu PMKS mengurus kos melalui kecekapan tenaga, penggunaan skim seperti Time-of-Use (ToU) serta peralihan kepada RE, sekali gus memastikan kelangsungan operasi dalam menghadapi ketidaktentuan tenaga global,” jelas KUSKOP dalam satu kenyataan.
Dalam pertemuan tersebut, Steven turut menggariskan beberapa bidang kerjasama strategik antara KUSKOP dan TNB termasuk mencadangkan penyelarasan insentif atau tarif elektrik lebih sesuai untuk PMKS.
“Usaha juga akan dipergiat untuk memperluas penggunaan skim ToU dalam kalangan PMKS melalui kempen bersama bagi membantu perniagaan mengoptimumkan penggunaan elektrik dan seterusnya mengurangkan kos operasi,” menurut kenyataan tersebut.
Kedua-dua pihak juga akan memperkukuh kerjasama dalam aspek pendigitalan dan peralihan tenaga termasuk memperluas akses pemasangan solar.
Ia dilaksana melalui model pembiayaan yang lebih fleksibel seperti zero capex, selaras agenda ESG dan usaha mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu.
Dalam aspek pembangunan kapasiti, KUSKOP dan TNB akan mempergiat kerjasama melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) untuk memperluas latihan pengurusan kewangan dan pengembangan perniagaan.
Bagi jangka masa panjang, penyertaan PMKS akan diperluas dalam sektor tenaga seperti solar, EV, pusat data dan teknologi berkaitan.
KUSKOP akan terus memperkukuh kerjasama dengan TNB dalam meneroka pelaksanaan insentif lebih bersasar di samping meningkatkan tahap kesedaran agar lebih ramai usahawan memanfaatkan peluang tersedia.
Pendekatan yang menggabungkan pengurusan kos secara berkesan dengan penerokaan peluang dalam sektor tenaga baharu amat penting dalam memastikan PMKS terus kekal kompetitif, berdaya tahan serta mampu menembusi pasaran baharu.