KUALA LUMPUR, 23 November- Inisiatif pembangunan pusat pengedaran koperasi dan 'outlet Coop Mart' di Sabah dan Sarawak sedang diselaras dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewond Benedick berkata cadangan berkenaan menjadi sebahagian agenda melengkapkan pelaksanaan inisiatif program Jualan Rahmah.
"Dalam hubungan ini Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengenal pasti inisiatif serta mekanisme membantu penstabilan harga barangan keperluan asas yang melibatkan gerakan koperasi melalui penyediaan insentif bagi membiayai kos pengangkutan.
"Melalui cadangan inisiatif ini, pusat pengedaran atau atau sub pusat pengedaran koperasi serta 'outlet Coop Mart' di Sabah dan Sarawak akan dapat membantu menstabilkan harga barangan keperluan harian di kawasan pedalaman, di samping membantu penjanaan pendapatan koperasi yang terlibat,' katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee di Dewan Rakyat, di sini.