KUSKOP sasar TikTok Shop Live Hub di setiap negeri

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong bercakap pada Majlis Pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Mac – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperluas ekosistem ekonomi digital negara dengan menyasarkan penyediaan sekurang-kurangnya sebuah fasiliti TikTok Shop Live Hub di setiap negeri pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat Live Hub beroperasi di Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan dan Johor.
  • Fasiliti menyediakan peralatan canggih dan khidmat rundingan pakar untuk membantu PMKS meningkatkan jualan dalam talian.
  • TikTok Shop melatih hampir 200,000 usahawan dan menjana jualan sekitar RM25 juta.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah strategik bagi memastikan usahawan tempatan, khususnya PMKS, mempunyai akses kepada kelengkapan penyiaran dan khidmat rundingan profesional bagi melonjakkan jualan mereka secara dalam talian.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak empat buah Live Hub telah beroperasi sepenuhnya iaitu di Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan dan Johor.

Fasiliti berkenaan disediakan khusus buat usahawan yang tidak mempunyai kelengkapan teknikal yang mencukupi di premis masing-masing.

“Kita menyediakan ekosistem yang lengkap. Di situ bukan sahaja ada peralatan yang canggih, malah kita sediakan tenaga pakar untuk memberi khidmat rundingan dan bimbingan cara melakukan penstriman langsung yang berkesan. Usahawan hanya perlu datang dan gunakan kemudahan yang ada,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelan pengembangan tahun ini, beliau menyatakan rancangan perluasan rangkaian ke seluruh negara dengan mengumumkan Pulau Pinang dan Pahang akan menjadi lokasi seterusnya bagi pembukaan Live Hub.

Ini termasuk Sabah dengan penambahan kemudahan sedia ada bagi menampung permintaan tinggi usahawan di negeri itu.

“Matlamat utama adalah untuk memastikan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu hab digital menjelang akhir tahun supaya rakyat dan usahawan dari Perlis sehingga ke Sabah tidak perlu lagi merantau jauh ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang.

“… semata-mata untuk mendapatkan kemudahan ini. Kita bawa kemudahan tersebut kepada mereka”, ujar beliau ketika berucap di pelancaran TikTok Bazar Raya, di sini.

TikTok Shop telah berjaya melatih hampir 200,000 usahawan tempatan, sekali gus menjana nilai jualan mencecah RM25 juta.

Pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan sinergi digital dalam melonjakkan potensi ekonomi PMKS negara ke tahap yang lebih tinggi.

Inisiatif yang dijayakan dengan kerjasama platform TikTok itu dijangka akan menjadi pemangkin utama dalam transformasi digital usahawan tempatan ke arah skala perniagaan yang lebih kompetitif dan global.

TikTok Bazar Raya ialah bazar Ramadan digital yang menggabungkan hiburan, penstriman langsung dan e-dagang untuk memudahkan pengguna membeli barangan persiapan Raya terus melalui aplikasi TikTok yang bermula dari 1 Mac hingga 13 Mac 2026.