KUSKOP sasar RM50 juta dana AIM perkasa usahawan wanita India tahun ini

KUSKOP sasar RM50 juta dana AIM perkasa usahawan wanita India tahun ini . / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan peruntukan akses pembiayaan berjumlah RM50 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) khusus bagi memperkasakan usahawan wanita baharu dalam kalangan masyarakat India tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KUSKOP sasar RM50 juta pembiayaan AIM untuk usahawan wanita India baharu tahun ini.
  • Peningkatan peminjam wanita India ketara sejak 2024, menunjukkan pemulihan dan keyakinan terhadap pembiayaan.
  • KUSKOP dan agensi sediakan latihan digital, AI dan kolaborasi dengan MITRA untuk sokongan tambahan.

Timbalan Menterinya Datuk Mohamad Alamin berkata prestasi usahawan wanita India yang menerima pembiayaan AIM menunjukkan trend peningkatan ketara, terutamanya selepas pandemik COVID-19.

“Paling ketara adalah pada 2024, peningkatan kepada 3,577 usahawan termasuk 1,605 peminjam baharu atau 44.87 peratus, seterusnya kepada 4,739 usahawan pada 2025 dengan 2,597 peminjam baharu atau 54.8 peratus.

“Prestasi ini mencerminkan momentum pemulihan dan peningkatan keyakinan usahawan wanita masyarakat India terhadap kemudahan pembiayaan yang disediakan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator K Saraswathy mengenai perkembangan skim pembiayaan AIM bagi komuniti berkenaan termasuk bilangan peminjam baharu setiap tahun di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai bidang paling dominan diceburi usahawan wanita India iaitu sebanyak 66.17 peratus, merangkumi perniagaan jualan langsung, pembersihan, pasar mini, jahitan dan bengkel kenderaan.

Ia diikuti sektor makanan dan minuman (F&B) sebanyak 30.34 peratus, manakala bakinya 3.49 peratus melibatkan sektor pelancongan, penternakan dan pertanian.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, KUSKOP melalui agensi seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan SME Corp sentiasa komited menyediakan latihan bimbingan, termasuk dalam bidang pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan usahawan PKS mampu berdaya saing.

Beliau turut menyatakan kesediaan kementerian untuk berkolaborasi dengan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi membincangkan syor mengenai kos faedah pinjaman serta sokongan tambahan kepada golongan usahawan masyarakat India.