KUALA LUMPUR, 20 Mac – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bakal memperkukuh kerjasama rentas kementerian dan industri bagi memastikan usahawan menerima bimbingan berkualiti.
Menurut Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, inisiatif ini bertujuan memperkasakan ekosistem keusahawanan dengan memberi tumpuan kepada sektor informal dan mikro.
"Selaras dengan Perancangan Strategik KUSKOP tahun 2025, INSKEN menyasarkan untuk memberikan latihan dan bimbingan keusahawanan kepada 17,522 usahawan melalui 13 program sepanjang tahun 2025," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dalam Dewan Negara hari ini.
Tambahnya, INSKEN turut memperkenalkan beberapa program khusus seperti Jom Jumpa PROTÉGÉ yang memberi latihan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta program MICEP, yang menyasarkan 1,200 usahawan dalam kalangan masyarakat India.
Selain itu, program bimbingan berimpak tinggi seperti IBBC akan memberi fokus kepada aspek kritikal perniagaan, termasuk pengurusan kewangan, tenaga kerja, pemasaran, dan pembangunan produk.