KUALA LUMPUR, 29 Jun- Satu sesi libat urus pertama berhubung cadangan pelaksanaan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Peringkat Daerah (MPUKPPD) bagi negeri-negeri zon utara diadakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam satu kenyataan berkata, sesi tersebut adalah untuk memaklumkan cadangan pelaksanaan MPUKPPD di empat negeri zon utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak selain turut mendengar pandangan setiap wakil negeri.
"Objektif utama MPUKPPD ini adalah untuk menguruskan pembangunan usahawan dan koperasi di peringkat daerah selain membantu menyelesaikan isu membabitkan pihak terlibat dengan lebih efektif dan efisien.
"Minggu lepas kita telah mengadakan sesi libat urus yang sama di Sarawak dan cadangan ini diterima baik. Begitu juga Sabah yang telah melaksanakan MPUKPPD sebagai projek rintis tahun lepas," katanya.
Dalam pada itu, Ewon berharap cadangan tersebut akan diterima baik oleh negeri-negeri lain di Semenanjung.
Sesi berkenaan turut dihadiri Ketua KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh, serta Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Azizul Alias; wakil-wakil pejabat setiausaha kerajaan negeri dan pegawai daerah.