fb fb fb fb fb

Kuota jemaah haji Malaysia musim ini telah dipenuhi - Dr. Na'im

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Kuota 31,600 yang diperuntukkan kepada jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini, telah dipenuhi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata jumlah itu telah mengambil kira 80,000 permohonan yang dibuat bagi kes rayuan haji.

"Saya maklumkan bahawa kuota 31,600 itu telah dipenuhi. Maknanya, pertimbangan kepada mereka yang merayu itu juga telah diambil kira."

"Itu memang kuota yang diberi. Hanya itu sahaja jumlahnya. Maknanya, bukan 31,601. Satu itu pun tidak akan dapat masuk ke Mekah. Ini kerana aliran keluar masuk ke Mekah bergantung kepada visa haji yang telah diperuntuk oleh kerajaan Arab Saudi," kata Dr. Na'im kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Masjid dan Surau Jumaat anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di ibu negara, hari ini.

Jelasnya, Tabung Haji (TH) akan mempertimbangkan permohonan rayuan sekiranya terdapat jemaah yang menolak tawaran haji bagi tahun ini.

Wujudnya kekangan untuk memenuhi permintaan semua pihak berikutan peningkatan jumlah permohonan jemaah haji setiap tahun berbanding jumlah peruntukan kuota haji sedia ada.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM