Subang, 8 November - Seramai 206 pegawai dan anggota Malaysian Battalion (MALBATT) 850-11 selamat tiba di tanah air pagi tadi.
Kumpulan pertama yang diketuai Ketua Pergerakan, Komander Errudin Bujang TLDM tiba kira-kira pukul 10:16 pagi dengan menaiki pesawat komersil Batik Air mendarat di Pangkalan Udara Subang.
Ketibaan kumpulan pertama ini disambut oleh Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong TUDM.
"Penugasan misi kali ini dilihat mencabar ekoran konflik yang memberi kesan kepada keselamatan di Selatan Lubnan dan menjejaskan pengoperasian kontinjen MALBATT 850-11.
"Namun ia juga merupakan pengalaman berharga buat semua dan menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara Malaysia agar keamanan dan kemakmuran yang dikecapi terus terpelihara," Mejar Jeneral Datuk Tong berkata dalam ucapannya.
MALBATT 850-11 dengan kekuatan keseluruhan seramai 853 pegawai dan anggota termasuk dari 29 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah diaturgerak ke Misi Pengaman dan Kemanusiaan PBB di Lubnan pada 2 November 2023.