KUCHING, 7 September- Tiga individu bersama seekor kucing nyaris rentung dalam kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan kuarters guru di Jalan Stapok, di sini, Sarawak, lewat petang tadi.
Bagaimanapun tindakan pantas pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang berjaya menyelamatkan kesemua mangsa berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah memaklumkan mangsa-mangsa tersebut terperangkap di tingkat tiga kuarters guru.
"(Sebaik tiba bomba mendapati) mangsa berada di koridor luar berhampiran ampaian baju, dan kami menggunakan tangga (menyelamat) untuk menurunkan dua wanita dan seorang lelaki.
"Alhamdullilah semuanya berjaya diselamatkan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Seramai 20 anggota bersama dua jentera pemadam dikerah ke lokasi kejadian dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.30 malam.
Tambahnya JBPM Sarawak merekodkan tiga kes kebakaran di daerah Kuching sepanjang petang tadi.