Kuarters klinik kesihatan di Tongod musnah dalam kebakaran

Foto JBPM Sabah

TONGOD, 24 Februari– Sebuah kuarters Klinik Kesihatan dua pintu di Kampung Pinangah, Tongod musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2.40 pagi Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuarters Klinik Kesihatan dua pintu di Kampung Pinangah, Tongod musnah sepenuhnya dalam kebakaran.
  • Rumah tidak kekal terbakar sekitar 20 peratus manakala sebuah pacuan empat roda rosak kira-kira 10 peratus.
  • JBPM Kinabatangan menerima panggilan pada 2.40 pagi dan menghantar enam anggota ke lokasi.
  • Operasi pemadaman tamat pada 7.58 pagi dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Saguon; tiada mangsa dilaporkan.

Turut terjejas dalam kejadian itu ialah sebuah rumah tidak kekal yang terbakar 20 peratus serta sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.40 pagi sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 174 kilometer dari balai.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 6.30 pagi dan segera menjalankan operasi pemadaman serta kawalan kebakaran.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.58 pagi dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Saguon Tongod.