fb fb fb fb fb

Kualiti telur di Melaka perlu pada tahap optimum

FOTO FAIL

AYER KEROH, 5 Mac - Kerajaan Negeri Melaka perlu memastikan pengeluaran telur ayam di negeri itu berada pada tahap optimum dan berkualiti.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam berkata, ini berikutan Melaka merupakan antara pengeluar telur ayam yang terbesar di negara ini.

"Saya difahamkan negeri Melaka merupakan antara pengeluar telur ayam yang terbesar di Malaysia. Berdasarkan laporan ini diharap kerajaan negeri memastikan pengeluaran telur ayam sentiasa berada pada paras optimum dan berkualiti serta dapat memenuhi permintaan," kata Ali Rustam ketika berucap dalam Perasmian Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini.

Selain itu, beliau turut menyarankan kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran pertanian lain seperti padi, kelapa dan sayur-sayuran bagi memenuhi permintaan di negeri itu.

Sementara itu, Ali Rustam menyarankan semua Institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya memainkan peranan signifikan dalam pembangunan bakat serta kemahiran tinggi pelajar di Melaka, termasuk mempelbagaikan kursus-kursus berkaitan. 

Institusi pendidikan juga disaran untuk terus konsisten dalam menjalankan kajian, penyelidikan serta pembangunan yang seterusnya menjadi sumber pendapatan baharu dan berterusan kepada negeri itu.

"Selain itu juga, bagi memperkasakan institusi pengajian tinggi di Melaka, saya menyarankan supaya pihak universiti perlulah sentiasa konsisten dalam menjalankan kajian serta penyelidikan dan pembangunan agar ia boleh menjadi sumber pendapatan baharu dan berterusan kepada negeri Melaka," katanya.

Sidang DUN Melaka berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dan akan berakhir pada Khamis.

TETITIA YUSOFF