KTMB tambah 228 perjalanan tren sempena Aidilfitri

Anthony Loke Siew Fook/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah 228 perjalanan tren tambahan bagi selama 13 hari bermula 17 Mac hingga 29 Mac 2026 bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif ini adalah penambahan tren terbesar pernah dilaksanakan KTMB bagi memudahkan rakyat pulang ke kampung dengan selesa dan selamat.
  • Jumlah tempat duduk ETS dan EMUPlus meningkat kepada 251,752, menunjukkan peningkatan 113 peratus berbanding tahun lalu.
  • KTMB juga menambah koc ERT dan menyediakan perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri bagi laluan Pantai Timur dan Utara untuk memenuhi permintaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata inisiatif itu merupakan penambahan tren terbesar pernah dilaksanakan KTMB, sebagai komitmen berterusan kerajaan dan KTMB untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat pulang ke kampung halaman dengan selesa dan selamat.

“Penambahan ini meningkatkan jumlah keseluruhan tempat duduk ETS dan EMUPlus kepada 251,752, berbanding 118,440 pada tahun lalu – peningkatan sebanyak 113 peratus. Jika maksimum 70 perjalanan sehari dijalankan, KTMB mampu menawarkan 285,714 tiket sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Edaran Pek Hari Raya Aidilfitri 2026 kepada penumpang KTMB di ibu negara.

Daripada jumlah tren tambahan, 196 perjalanan melibatkan perkhidmatan ETS, manakala 32 perjalanan lain menggunakan EMUPlus, dengan operasi hampir 24 jam dan 64 perjalanan sehari.

Bagaimanapun, kapasiti ETS boleh ditingkatkan sehingga maksimum 70 perjalanan sehari mengikut permintaan penumpang.

Selain itu, KTMB menambah empat koc untuk perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral dan meningkatkan jumlah tempat duduk bagi tempoh 17 Mac hingga 29 Mac kepada 13,910, berbanding 9,120 pada tahun lalu.

“KTMB juga menyediakan perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur dan Utara sebagai langkah tambahan untuk memenuhi keperluan perjalanan rakyat.

“ELA Pantai Timur akan beroperasi pada 18 Mac dari KL Sentral ke Tumpat dan pada 22 Mac bagi laluan Tumpat ke KL Sentral, manakala ELA Utara dijadualkan pada 17 dan 22 Mac dari KL Sentral ke Padang Besar serta pada 18 Mac dan 23 Mac bagi laluan Padang Besar ke KL Sentral,” katanya lagi.

Anthony Loke turut menyantuni penumpang ETS dengan mengedarkan 500 pek Hari Raya Aidilfitri di KL Sentral yang membuat perjalanan ke Padang Besar dan JB Sentral.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan para penumpang agar menjaga barangan peribadi dan berada di stesten 30 minit lebih awal sebelum waktu perlepasan tren.