PUTRAJAYA, 12 Januari -Kementerian Pengangkutan melalui Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penambahan enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) setiap hari ke destinasi Ipoh dan Padang Besar sempena perayaan Tahun Baharu China.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, ia melibatkan empat perkhidmatan tambahan sehari bagi laluan KL Sentral - Ipoh - KL Sentral pada 7 Februari sehingga 13 Februari 2024 serta dua perkhidmatan tambahan sehari bagi laluan KL Sentral -Padang Besar - KL Sentral pada 7 Februari sehingga 10 Mac 2024.
Jelas Anthony, dua daripada empat perkhidmatan tambahan KL Sentral - Ipoh - KL Sentral adalah tren ekspres yang hanya akan mengambil masa dua jam sehala berbanding masa perjalanan biasa iaitu 2 jam 40 minit.
Tren ekspres itu hanya akan berhenti di tiga stesen sahaja, iaitu KL Sentral, Kuala Lumpur dan Ipoh.
"Keseluruhan tiket tambahan yang ditawarkan sepanjang Tahun Baru Cina dan Cuti Sekolah adalah sebanyak 29,526.
"Untuk 32 perkhidmatan ETS sedia ada, jumlah tiket yang ditawarkan adalah sebanyak 10,180 sehari.
"Tiket-tiket tren tambahan tersebut akan mula dijual kepada orang ramai bermula pada 15 Januari 2024, iaitu Isnin depan pada jam 12.00 tengah hari.
"Orang ramai boleh membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan juga di kiosk-kiosk tiket yang tersedia di semua stesen-stesen utama KTMB", katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu Kementerian Pengangkutan di sini
Pada masa yang sama Anthony turut memaklumkan bagi menampung permintaan bas yang tinggi, Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bermula 15 Januari sehingga 2 Februari 2024.
Tempoh sah laku lesen itu adalah pada 7 Februari sehingga 18 Februari 2024.
Tahun lalu, langkah berkenaan berjaya meningkatkan jumlah sebanyak 296 bas dan dijangka bilangan bas akan lebih tinggi bagi tahun ini.