Krisis tenaga global, ruang muhasabah umat Islam, pengukuhan nilai kesederhanaan

Kira-kira 5,000 jemaah menunaikan Solat Maghrib, Solat Hajat serta menyertai bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Putra/ Foto hiasan/ BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 10 April – Umat Islam diingatkan bahawa setiap krisis membawa ruang untuk muhasabah, penyatuan dan pengukuhan nilai kesederhanaan dalam kehidupan ketika berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Krisis tenaga sebagai ruang muhasabah, penyatuan dan pengukuhan nilai kesederhanaan dalam kehidupan umat.
  • Cabaran geopolitik dan gangguan rantaian bekalan menguji ketahanan ekonomi serta menimbulkan ketegangan dan penderitaan.
  • Kerajaan komited mengekalkan subsidi, menjamin bekalan makanan dan menstabilkan kos sara hidup rakyat.
  • Amalkan pengurusan berhemah seperti Nabi Yusuf, elak pembaziran, tabayyun terhadap maklumat bagi memelihara keharmonian.

Menurut Imam Besar Masjid Putrajaya Dr. Muhamad Zakuwa Rodzali, cabaran geopolitik dan gangguan rantaian bekalan tenaga dunia hari ini bukan sekadar ujian ekonomi, tetapi juga peluang untuk memperkukuh kecekalan rohani dan daya tahan masyarakat.

“Dalam keadaan tertentu, tindakan tersebut telah mencetuskan ketegangan, konflik serta penderitaan yang berpanjangan.

“Peristiwa peperangan yang sedang berlaku di Asia Barat ketika ini turut memberi kesan kepada seluruh dunia. Konflik tersebut telah mengganggu rantaian bekalan serta sumber tenaga global, sekali gus menguji ketahanan ekonomi sesebuah negara”, katanya dalam Khutbah Solat Jumaat di Masjid Putrajaya.

Pada masa yang sama, kerajaan terus komited memastikan kesejahteraan rakyat melalui dasar pengekalan subsidi, jaminan bekalan makanan serta usaha menstabilkan kos sara hidup.

“Ambil iktibar daripada kebijaksanaan Nabi Yusuf A.S. dalam merancang pengurusan ekonomi ketika berdepan tempoh sukar, dengan mengutamakan perbelanjaan berhemah, menabung dan mengelakkan pembaziran”, katanya.

Selain aspek ekonomi, masyarakat turut dinasihat mengenai cabaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan kekeliruan dan perpecahan.

“Prinsip tabayyun atau menyemak kesahihan berita perlu diperkukuh bagi memastikan keharmonian terus terpelihara,”ujar beliau.

Katanya, kekuatan sebenar umat terletak pada kesatuan, kesederhanaan dan keteguhan iman yang menjadi asas kepada kestabilan sosial dan kesejahteraan negara.