fb fb fb fb fb

KPWKM siasat dakwaan layanan buruk dua pegawai JKM

Datuk Seri Nancy Shukri

KUCHING, 16 April- Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menyiasat dakwaan dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi layanan buruk terhadap sepasang suami isteri warga emas di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi membolehkan pihaknya mendapat gambaran sebenar akan dakwaan tersebut dan bukannya berdasar cerita sebelah pihak yang ditularkan.

"Kita tengah menyiasat mengenai situasi yang dinyatakan dan kita dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kita tidak mengambil ringan perkara itu. Saya sendiri telah berjumpa dengan pasangan itu,' katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang menyiarkan dakwaan wanita itu bersama-sama suaminya seorang pemegang kad penduduk tetap, diberi layanan buruk oleh dua pegawai JKM dan dipaksa ke Terminal Bas Bersepadu (TBS) Bandar Tasik Selatan kerana menjadi gelandangan di Kuala Lumpur.

Wanita berkenaan mendakwa rayuannya untuk terus kekal tinggal di kawasan kaki lima berdekatan sebuah restoran tempat dia bekerja mencuci pinggan mangkuk bagi menyara diri dan suaminya yang mengalami kemurungan turut tidak diendahkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI