SERDANG, 24 Julai - Pengumuman inisiatif baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam disambut baik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut beliau, inisiatif ini dapat membantu rakyat, terutamanya golongan belia berusia 18 tahun ke atas, terutamanya peruntukan RM100 yang diberikan kepada mereka serta pelbagai bentuk bantuan lain.
“Pengumuman ini disambut baik kerana ramai yang menunggu dengan penuh harapan, bahkan kami di peringkat kementerian juga turut menantikan apakah langkah yang bakal diumumkan oleh kerajaan.
"Adalah diharapkan bantuan ini digunakan secara berhemah dan bertanggungjawab. Ini selaras dengan iltizam Perdana Menteri yang sentiasa berusaha mencari solusi terbaik demi kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif," katanya.
Tambah Datuk Seri Nancy, hasil daripada perbincangan bersama, Perdana Menteri akhirnya membuat keputusan untuk menyalurkan bantuan ini, khususnya penurunan harga petrol RON95 yang dapat membantu rakyat.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Anwar atas keprihatinan beliau dalam menyantuni keperluan rakyat.
Sementara itu, Datuk Seri Nancy turut merasmikan Konvokesyen MamaCare Kali Ke-4 yang berlangsung di Dewan Utama, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.
Majlis ini merupakan satu platform penting dalam memperkasa golongan wanita, khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan selepas bersalin.
Beliau memaklumkan seramai 1,482 telah ditauliahkan dalam pengajian Diploma Kemahiran Malaysia tahap 4 (DKM4) dalam Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare.
“Industri ini berpotensi besar dalam menjana pendapatan dan menyumbang kepada ekonomi negara. Kita mahu melahirkan tenaga mahir yang bukan sahaja pakar dalam penjagaan ibu bersalin, tetapi juga mampu menjadi 'caregiver' yang serba boleh,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, peserta program terdiri daripada pelbagai peringkat umur dari 20 tahun hingga 73 tahun.
Secara tidak langsung, ini membuktikan bahawa industri ini mampu menawarkan peluang kepada semua golongan masyarakat, selagi mereka berada dalam keadaan sihat dan berkemampuan.