KUALA LUMPUR, 6 Februari –Penyediaan latihan penjagaan warga emas di seluruh negara akan terus diperkasa dan diperluaskan bagi melahirkan penjaga yang berkemahiran serta berdisiplin, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut beliau, meskipun tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pemilikan sijil profesional tertentu bagi penjaga warga emas, usaha meningkatkan tahap kemahiran dalam bidang ini tetap menjadi keutamaan.
“Institut Sosial Malaysia (ISM) di bawah kementerian ini memainkan peranan penting dalam menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bagi bidang Operasi Pusat Jagaan Orang Tua,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen hari ini.
Nancy turut memaklumkan bahawa kursus ini terbuka kepada penjawat awam, pengusaha pusat jagaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta sukarelawan.
“Bergerak ke hadapan, ISM merancang untuk menambah bidang SKM ke Tahap 4, iaitu peringkat diploma bagi Pentadbiran Pusat Jagaan Orang Tua, bagi melahirkan penjaga atau pengasuh yang lebih berkelayakan,” tambahnya.
Beliau menjelaskan bahawa kurikulum kursus ini dibangunkan dan diselaraskan dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi memastikan kualiti dan piawaian latihan yang terbaik.
Sementara itu, berhubung dengan penggubalan akta khusus untuk warga emas, pihaknya telah menubuhkan Special Project Team (SPT) yang terdiri daripada wakil kementerian, NGO, ahli akademik, SUHAKAM dan Majlis Peguam bagi mengkaji serta merangka akta yang relevan.
“Manakala berhubung status terkini penggubalan RUU Profesion Kerja Sosial pula, KPWKM kini sedang giat memuktamadkannya dan dirancang untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun ini juga,” katanya.