fb fb fb fb fb

KPT peruntuk RM50,000 anjur aktiviti kesusasteraan

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Julai- Sebanyak RM50,000 diperuntukkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi penganjuran aktiviti berkaitan kesusasteraan di peringkat institusi pengajian tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu bagi memperbanyak aktiviti sedemikian menerusi kerjasama dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dalam usaha membina keperibadian dan jati diri masyarakat.

"Satu daripada bentuk pembinaan jati diri ialah dengan kembali menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain elemen kebudayaan dan juga kesusasteraan yang berhubung kait dengan latar belakang segala-galanya.

"Lantaran itu kita akan menganjurkan beberapa program yang berkaitan seperti sayembara puisi," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Puisi Kebangsaan anjuran GAPENA di ibu negara.

Majlis itu turut dihadiri Presiden GAPENA Datuk Zainal Abidin Borhan.

Pada majlis itu, penyair serta pendeklamasi terkemuka tanah air Puzi Hadi dan Marzuki Ali dinobatkan sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2024.

Sehubungan itu, penganjuran aktiviti kesusasteraan tidak terhad kepada institusi pengajian tinggi awam sahaja malah terbuka kepada semua cabang pendidikan di bawah naungan KPT.

"Ia akan melibatkan semua. Kita tidak menghalang hanya satu pihak tapi akan buka kepada institusi pengajian tinggi swasta serta semua cabang yang ada dalam KPT seperti politeknik dan kolej komuniti," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI