fb fb fb fb fb

KPT mahu siasatan terperinci kebakaran asrama UniMAP

Kebakaran di aras bawah Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)/Foto Facebook Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

KANGAR, 11 Mei- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu siasatan terperinci dilakukan terhadap kejadian kebakaran yang berlaku di aras bawah Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu hantaran di Facebook berkata, kementerian juga akan menyalurkan bantuan sewajarkan kepada UniMAP susulan insiden itu.

"Semoga semua yang terlibat tabah dan KPT akan memastikan segala perkara berkaitan akan diberi perhatian sewajarnya," katanya.

Hari ini media melaporkan sebanyak 26 motosikal musnah dan 10 lagi mengalami kerosakan kecil selepas kawasan parkir asrama lelaki UniMAP di Pauh, Arau terbakar.

Ketua Polis Daerah Arau Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 4.43 pagi.

Zambry berkata beliau juga dimaklumkan bantuan segera telah diberikan oleh UniMAP bagi tujuan kebajikan dan penempatan sementara kepada pelajar yang terlibat, termasuk dari segi urusan barangan keperluan dan makanan.

"Bangunan yang menempatkan asrama pelajar ini telah dikosongkan dan UniMAP telah mengambil langkah-langkah awal bagi memastikan keselamatan pelajar diberi keutamaan," katanya.

Pada masa sama beliau juga menasihatkan semua pelajar terlibat supaya sentiasa berhubung dan mendapatkan maklumat terkini daripada universiti.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI