KULAI, 8 Mac- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa dalam kalangan pelajar Politeknik di negara ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md. Amir berkata potensi yang dimiliki mereka cukup besar dan mampu menandingi atlet-atlet Olimpik.
Katanya, kerjasama erat antara pihak kementerian dan Politeknik Malaysia dilihat dapat memperkasa golongan atlet berpendidikan berkenaan.
KPT sedia memberikan sokongan penuh kepada institusi pengajian di negara ini, termasuk kolej komuniti dan universiti awam bagi menjayakan usaha itu.
"Sebab itu matlamat kita ke satu peringkat lebih tinggi. Jadi apa yang saya sebut tadi itu memanglah, sebab kita mahu menaikkan bakat-bakat atlet yang terbaik, yang mempunyai watak dan karakter yang betul kerana perkara ini harus berjalan seiring untuk kita lahirkan atlet yang berjaya pada masa hadapan," kata Mohamad Azhan pada sidang media sempena Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik 2023 di Impiana Hotel Senai di sini.
Tambahnya, pihaknya turut meletakkan harapan agar atlet Politeknik, dapat mewakili negara ke pentas lebih tinggi, khasnya temasya Sukan Olimpik.