fb fb fb fb fb

KPT bincang selesaikan isu kediaman pelajar IPTA

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika melawat kolej kediaman di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Proton City, Tanjung Malim/FOTO RTM

TANJUNG MALIM, 16 Disember-Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berhadapan masalah penginapan pelajar tidak mencukupi, sedang dikenalpasti kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurut Zambry, beliau dimaklumkan oleh pengurusan tertinggi KPT terdapat beberapa universiti yang perlu menyelesaikan masalah itu dengan kadar segera.

"Saya telah berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi KPT supaya kita kenal pasti Universiti-Universiti yang memerlukan penyelesaian yang segera", katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke kolej kediaman di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Proton City di sini.

Sementara itu, dalam isu berkaitan penularan COVID-19, Zambry berkata setakat ini keadaan di IPT masih terkawal dan KPT akan terus mendapatkan panduan serta arahan daripada Kementerian Kesihatan bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.

Pada 13 Disember, kes COVID-19 dalam negara dilaporkan meningkat kepada 12,757 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 iaitu dari 3 hingga 9 Dis lepas berbanding 6,796 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan Universiti Perguruan Sultan Idris, UPSI sedang dalam perancangan untuk menambah kapasiti bilik penginapan di asrama kampus berkenaan, daripada 40 peratus sebelum itu kepada 70 peratus.

Kampus itu dijangka boleh menampung dua kali ganda kapasiti penginapan yang ketika ini dihuni lebih 7,000 pelajar.

"Namun dalam masa yang sama, saya juga turut membangkitkan tentang keselesaan pelajar.

"Jangan kita nak selesaikan masalah itu tapi dalam masa yang sama kita mendatangkan masalah kepada mereka", kata Zambry.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD