fb fb fb fb fb

KPN rangka hala tuju, pastikan agenda & peranan terus relevan

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang

PUTRAJAYA, 16 Januari - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah merangka beberapa hala tuju yang akan dilaksana tahun ini bagi memastikan agenda dan peranan KPN terus relevan dan kehadapan.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata perancangan yang dilakukan hujung tahun lalu telah membantu pihaknya mengatur beberapa strategi dan inisiatif bagi mendepani pelbagai isu dan cabaran melibatkan perpaduan.

"Kini peranan KPM turut menjadi lebih besar sejak penstrukturan semula agensi kerajaan.

"Sehubungan dengan itu, kertas cadangan penstrukturan dan penyusunan semula bahagian-bahagian di bawah Kementerian akan diteliti dan diangkat untuk pertimbangan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kadar segera.

"Saya juga telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Azman Mohd Yusof untuk meneliti dengan segera berhubung penstrukturan gred dan bilangan perjawatan Pegawai Perpaduan Negeri (PPN) dan Daerah (PPD) supaya setiap daerah diwakili pegawai perpaduan yang sewajarnya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat", katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Menteri Perpaduan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Tambah beliau, beberapa agenda turut direncanakan sepanjang tahun ini bagi mengeratkan lagi semangat perpaduan antara rakyat.

Ia termasuklah Pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Penghayatan Terhadap Rukun Negara, Penyuburan Minat Terhadap Warisan dan Budaya Negara dan Memacu Agenda Digital Negara.

ROSLINA BINTI DIN