IPOH, 23 Ogos -Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan menutup mana-mana sekolah kurang murid meskipun berdepan dengan cabaran enrolmen pelajar yang rendah.
Timbalan Menteri Wong Kah Woh berkata, kementerian akan terus komited melaksanakan pendekatan rasionalisasi sekolah termasuk mengekalkan lokasi sedia ada, mencantumkan kelas serta memindahkan sekolah ke kawasan yang lebih sesuai.
Katanya, dengan pendekatan itu kementerian yakin akses pendidikan terus terpelihara, sambil memastikan pengurusan sekolah disesuaikan mengikut keperluan komuniti.
"Kita beri komitmen kita faham dengan sensitiviti sekolah kurang murid, kita faham berkenaan perasaan masyarakat setempat yang hendak mengekalkan sekolah sekolah dalam masyarakat tersebut. Maka KPM tidak akan menutup mana-mana sekolah kurang murid selagi cadangan itu bukan datang pihak sekolah ataupun pihak Lembaga Pengelola Sekolah (LPS)," katanya kepada pemberita dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Peruntukkan Penyelenggaran Sekolah Bantuan Kerajaan SJKT PPD Kinta Utara di Buntong.
Sebanyak lapan sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerima bantuan melibatkan RM810,000.
Dalam pada itu Wong Kah Woh berkata, pengagihan peruntukan penyelenggaraan kepada sekolah bantuan kerajaan kini dilaksanakan secara lebih telus dan berfokus.
Katanya, tiga kriteria utama diguna pakai dalam agihan melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Mubaligh.
Menurutnya, pendekatan itu bagi memastikan peruntukan disalurkan terus kepada sekolah yang benar-benar memerlukan, sekali gus memberi manfaat lebih meluas kepada murid.
"Kita mempertimbangkan daripada segi (need-based), pertimbangan kedua adalah kita ambil kira jumlah murid yang mereka ada dan ketiga adalah keperluan semasa sekolah tersebut.Kita mengambil kira cadangan yang dikemukakan oleh pihak sekolah. Sebagai contoh, bagi sekolah-sekolah Tamil, kita mempertimbangkan cadangan daripada Tamil Foundation sebelum membuat keputusan berkaitan pengagihan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengagihan dibuat secara lebih terbuka dengan mengambil kira pandangan sekolah serta cadangan badan berkaitan sebelum dimuktamadkan.