
BAYAN BARU, 18 Februari – Kementerian Pendidikan bersedia mengadakan sesi libat urus lanjutan dengan pengusaha tadika swasta bagi menjelaskan pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun.
- Kementerian sedia adakan sesi libat urus lanjut dengan pengusaha tadika swasta untuk jelaskan pelaksanaan kemasukan Tahun Satu usia enam tahun.
- Langkah ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai dasar berkenaan.
- Kementerian menghargai sambutan positif pengusaha prasekolah swasta terhadap dasar tersebut.
- Kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun Satu adalah pilihan, bukan mandatori.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata langkah itu penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung dasar berkenaan.
“Terima kasih kepada semua pengusaha prasekolah swasta yang menyambut dasar ini dengan baik dan mendukung aspirasi kementerian. Keprihatinan serta kerungsingan yang dibangkitkan penting untuk ditangani dan kita bersedia mengadakan sesi lanjutan jika masih ada perkara berbangkit dalam masyarakat.
“Itu tanggungjawab Kementerian Pendidikan untuk menjelaskan supaya semua rakyat menerima dasar ini dengan baik,” katanya.
Beliau menegaskan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun Satu bukan mandatori, sebaliknya bersifat pilihan.
Fadhlina berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka MADANI Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma PKR, Bayan Baru.