fb fb fb fb fb

KPM tambah baik operasi sistem SPPB, mudahkan tugas guru

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Prihatin terhadap kesukaran guru berkaitan penggunaan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa langkah penting bagi menambah baik pengoperasian penggunaannya.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu termasuk menambah baik dan mengoptimumkan kod pengaturcaraan, meningkatkan kapasiti server dan melaksanakan tuning konfigurasi server.

“ Pemantauan bagi pengoperasian SPPB dilaksanakan menerusi aplikasi Application Performance Monitoring (APM) secara berterusan.

“Hasil pemantauan mendapati terdapat peningkatan akses pengguna sehingga menyebabkan sistem keseluruhan menjadi perlahan disebabkan oleh pembacaan data yang tinggi,” menurut kenyataan itu. 

SPPB adalah satu sistem pengurusan pentaksiran yang berterusan dan menyeluruh bagi semua jenis pentaksiran KPM.

Menurut kenyataan itu, KPM sentiasa berusaha meningkatkan pengoperasian sistem SPPB untuk membantu memudahkan tugas guru selain memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terpelihara.

Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai SPPB boleh dikemukakan dengan menghubungi talian hotline 03-8884 3632 atau menerusi ICT Service Desk (ISD) https://isd.moe.gov.my/.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI