PASIR MAS, 12 Disember- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengguna pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi sekolah-sekolah yang berpotensi dilanda banjir pada tahun depan.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi berkata pihaknya mengambil serius perkara tersebut dan akan membawanya ke peringkat kementerian untuk memastikan SOP tersebut diguna pakai di semua sekolah di negeri-negeri yang sering dilanda banjir.
Menurut Ruji, antara SOP tersebut adalah memastikan bilik guru, makmal, serta bilik simpanan buku teks ditempatkan di tingkat atas bangunan sekolah bagi mengelakkan kerosakan akibat banjir.
"Pengajaran yang kita dapat ialah untuk kawasan sekolah yang terlibat banjir, perlu ada beberapa SOP yang diteliti. Sebagai contoh, bilik guru, bilik makmal, dan bilik simpanan buku teks tidak sepatutnya berada di tingkat bawah.
"Barang-barang mudah rosak perlu dipindahkan, dan kita perlu mengenal pasti sekolah-sekolah yang berisiko banjir untuk perancangan awal.
"Saya berharap pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sekolah, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil maklum perkara ini," katanya kepada pemberita ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti di sini bersempena dengan lawatan kerja ke Kelantan, hari ini.
Beliau turut menjelaskan, hasil tinjauan ke beberapa negeri yang terjejas sebelum ini mendapati situasi sama berlaku di Kelantan dan Kedah, di mana bilik guru kebanyakannya terletak di tingkat bawah bangunan sekolah.
Sehubungan itu, pihak KPM akan mendapatkan data dari negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah untuk mengenal pasti bilik guru yang terjejas akibat banjir baru-baru ini agar dapat dipindahkan ke tingkat atas memandangkan bahan pengajaran dan pembelajaran banyak disimpan di bilik tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ruji memaklumkan bahawa 15 sekolah di Kelantan terjejas teruk akibat banjir.
Beliau telah meminta JPN dan PPD untuk membuat perolehan segera mengikut tatacara perolehan sedia ada serta menggunakan kaedah perolehan darurat sekiranya perlu.
"Kita ada kemudahan perolehan darurat. Kerja-kerja pembinaan perlu diteruskan segera, termasuk perolehan peralatan.
"Saya harap proses perolehan dilakukan sekarang supaya peralatan dapat diganti menjelang akhir Januari. Diharapkan situasi banjir tidak berulang seperti gelombang pertama yang teruk," katanya.