KPM perkenal kurikulum baharu secara berperingkat mulai 2027

Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 11 Februari- Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kurikulum persekolahan baharu secara berperingkat mulai tahun hadapan bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal dinamik dan memenuhi keperluan masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan kurikulum baharu secara berperingkat bermula 2027 untuk Tahun Satu dan Tingkatan Satu, diperluas 2028.
  • Kurikulum disemak mengikut keperluan, seimbang, dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
  • Integrasi pendidikan kenegaraan dan literasi politik melalui Sejarah, Pendidikan Sivik dan kerjasama dengan Akademi Pilihan Raya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pelaksanaannya akan dimulakan dengan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027 sebelum diperluas kepada Tahun Dua dan Tingkatan Dua pada 2028.

“Semakan kurikulum akan diadakan sekiranya ada keperluan. Bagi subjek tertentu, semakan boleh dilakukan dari semasa ke semasa. Namun KPM sentiasa memastikan ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan seimbang dalam semua segmen,” katanya.

Bermula tahun ini, KPM turut melaksanakan Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI yang memberi tumpuan kepada empat komponen utama termasuk pengukuhan nilai patriotisme dan pembinaan jati diri positif dalam kalangan murid.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung formula kementerian dalam melaksanakan semakan kurikulum dan tempoh penggunaan buku teks sekolah.

Menurut Wong lagi, elemen pendidikan kenegaraan dan politik telah diintegrasikan dalam mata pelajaran Sejarah serta Pendidikan Sivik bagi memberi pendedahan awal mengenai konsep demokrasi.

Pengukuhan literasi politik turut dilaksanakan melalui kerjasama dengan Akademi Pilihan Raya bagi memberi pengalaman pembelajaran autentik kepada murid mengenai proses pengundian dan tanggungjawab sebagai pemilih.