fb fb fb fb fb

KPM pastikan pelajar amal pemakanan sihat

Foto BERNAMA

KUANTAN, 14 Jun- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam memastikan pelajar-pelajar mengamalkan pemakanan sihat.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas berkata usaha itu mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di samping Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti Dan Sektor Swasta (PIBKS).

"Usaha itu akan kita pergiatkan di seluruh negara sebagaimana saya nyatakan ada juga program lain yang mendukung kempen amalan pemakanan sihat ini antaranya program 'hits' kita laksanakan di sekolah-sekolah yang kita jalankan dengan KKM untuk menyediakan menu makanan yang sihat di kantin sekolah.

"Jadi para pelajar, ibu bapa boleh berhubung terus dengan pihak kantin untuk memastikan makanan yang diambil murid itu berdasarkan menu yang telah dibantu sediakan oleh KKM," katanya kepada pemberita selepas perasmian Majlis Peluncuran Kempen Amalan Pemakanan Sihat Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini.

Pihaknya juga sentiasa memantau makanan yang disediakan di kantin dan asrama sekolah agar sajian makanan bernutrisi dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, pemantauan dilakukan oleh pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan penyediaan makanan adalah sesuai untuk pelajar-pelajar.

Pelajar-pelajar juga disaran merujuk Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan pemakanan sihat.

Selain itu, pelajar-pelajar juga digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan bersukan.

Pelbagai program dirangka di sekolah menerusi aktiviti di luar bilik darjah dan kokurikulum bagi memastikan pelajar kekal aktif dan didukung dengan pemakanan sihat agar pertumbuhan seimbang.

Tambahnya, pendidikan amalan pemakanan dan gaya hidup hidup sihat dari sekolah dapat membantu negara dalam mengurangkan masalah penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi dan kencing manis dalam kalangan masyarakat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM