fb fb fb fb fb

KPM jamin peluang pendidikan tidak pinggir mana-mana bangsa

(Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek/Gambar Fail FB KPM)

KULIM, 9 Julai - Tidak ada mana-mana kaum yang dipinggirkan daripada peluang pendidikan di negara ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan sentiasa berusaha menambah baik sistem pendidikan negara.

"Walaupun kerajaan berpendirian mengekalkan sistem kuota Melayu dan bumiputera, peluang dalam pendidikan juga harus diberikan kepada pelajar daripada kaum lain.

"Kita memang bersama dengan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tetapi dalam masa yang sama di peringkat KPM kita ada banyak penambahbaikan dan saya ingin memberi jaminan bahawa kita tidak meminggirkan mana-mana bangsa (untuk belajar). 

"Ini penting khususnya pelajar di Tingkatan Enam yang sedang kita lihat peluang yang lain untuk memastikan semua anak kita ini mendapat akses pendidikan. Jadi tiada siapa yang akan dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Innovation dan Robotik Peringkat Kebangsaan 2023 (INORO'23) di Kolej Vokasional Kulim di sini, hari ini.



Semalam, pada Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah, Perdana Menteri berkata sistem kuota Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan perlu dikekalkan.

Anwar menjelaskan ia bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata penyelenggaraan dan baik pulih sekolah daif di seluruh negara menjadi keutamaan KPM termasuk di enam sekolah di negeri ini antaranya di daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Baling dan Sik.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan Anwar berkaitan peruntukan kepada klinik dan sekolah daif di Kedah.

"Semua projek baik pulih sekolah daif akan dipantau dan perkembangannya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam majlis ramah mesra bersama warga masyarakat daerah Kubang Pasu di Changlun semalam, Anwar berkata daripada jumlah keseluruhan peruntukan Rolling Plan (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 di Negeri Kedah, sebanyak RM10.1 juta diperuntukkan bagi pembaikan 40 buah klinik dan enam buah sekolah daif.

 

Media Baharu