fb fb fb fb fb

KPM beri penekanan kuasai Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

PULAU PINANG, 30 Ogos- Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memberi penekanan terhadap penguasaan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris terutama di peringkat di sekolah menengah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu memandangkan ia perlu bagi menyokong sistem pembangunan negara yang lebih inklusif.

"Bagaimana Matematik dan Sains, Bahasa Melayu harus dimantapkan Bahasa Inggeris harus dikembangkan.

"Jadi selain daripada mengakar ke bumi supaya akar budaya dan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan kita mesti menggapai penguasaan ilmu baru yang memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik," katanya.

Beliau berkata demikiank etika berucap pada Majlis Kunjungan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai High School Bukit Mertajam (HSBM) di sini.

Pada masa sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah berperanan penting memberikan ruang supaya sistem pendidikan menjadi lebih bermutu.

Usai lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam, Anwar kemudian meluangkan masa melakukan lawatan ke Hospital Bukit Mertajam. 

Beliau tiba kira-kira pukul 12.10 tengah hari dengan melawat wad kanak-kanak dan bilik pemeriksaan imbasan CT. 

Dalam pada itu Anwar turut mengimbau nostalgia dengan melawat bangunan yang dahulu merupakan kuarters kakitangan yang didiami beliau dan keluarganya pada tahun 1955 hingga 1959 sebelum berpindah ke Cherok Tok Kun. 

Allahyarham ayah beliau Ibrahim Abdul Rahman pada ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai perubatan di hospital berkenaan. 

Selepas itu, beliau meluangkan masa beramah mesra bersama-sama masyarakat di Warung Nasi Kandar berhampiran Masjid Kubang Semang sebelum menunaikan solat Jumaat di situ.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI