MUAR, 15 Februari - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah menerima 80% permohonan baik pulih dan bina baharu rumah serta baik pulih kemudahan awam yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri pada Disember dan Januari lalu.
Justeru, Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah luar bandar yang masih belum berbuat demikian segera menghantar permohonan.
"Setakat ini 1,700 rumah terjejas sudah dibaik pulih dan kita minta disegerakanlah hantar senarai kepada kementerian. Sebanyak RM150 juta diperuntukkan semasa banjir pada Disember dan Januari lalu untuk tujuan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Pengarah-pengarah Agensi KPLB dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pelajaran Mara, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan RM40,100 kepada 401 pelajar B40 di 4 Institusi Pendidikan Mara yang terjejas akibat COVID-19.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata setiap program dilaksanakan kerajaan atau parti politik perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) digariskan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi mengekang penularan Covid-19.
"Namun nasihat berterusan perlu diberi kepada orang ramai yang hadir program atau majlis anjuran mana-mana pihak supaya tidak melanggar SOP," katanya sebangai mengulas mengenai program parti politik yang melanggar SOP COVID-19 ditetapkan.