MARAN, 16 Februari- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan 'war room' khusus bagi mendepani isu berkaitan perumahan, khususnya membabitkan projek sakit serta kelewatan pemaju menyiapkan projek.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib, berkata pendekatan ini melalui pelan mitigasi agar isu terbabit dapat diselesaikan segera dengan langkah terbaik.
Jelasnya, inisiatif itu bukan sekadar membabitkan semua projek perumahan di bawah seliaan KPKT seperti PR1MA, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), malah turut meliputi pemaju swasta.
"Kita tidak menafikan memang ada projek-projek yang lewat di dalam kementerian ni bahkan melalui kementerian baru ni kita telah menubuhkan war room khusus untuk melihat bagaimana, apakah masalah yang dihadapi oleh projek- projek lewat ini bukan sahaja di PRIMA ,malah di SPNB ,dan juga Jabatan Perumahan Negara .
"Melaluinya, kita akan melihat semua isu perumahan secara menyeluruh. Apa juga isu berkait perumahan yang menyebabkan ia 'sakit', lewat atau terbengkalai secara terbuka dan telus akan diteliti.
"KPKT perlu mencari pendekatan yang lebih fokus serta strategik dan pelan 'war room' ini diyakini akan memberi impak positif dalam membela pembeli," ulasnya.
Beliau berkata demikian pada program Back to School peringkat Parlimen Maran membabitkan 4,652 pelajar dari Dewan Undangan Negeri ( DUN) Luit, Chenor dan Kuala Sentul membabitkan keluarga B40 di Dewan Arena Tengku Muda, Maran.
Mengulas isu kelewatan projek PRIMA, Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, masalah utama dikenal pasti ialah kekangan kewangan dialami PRIMA pada 2017 hingga 2019 yang menyebabkan kelewatan dalam pembayaran.
"Sekiranya kontraktor asal gagal menyiapkan projek mengikut perjanjian, KPKT akan mencari kontraktor penyelamat bagi meneruskan projek demi rakyat.
"Bagaimanapun Pelan Rasionalisasi Projek Prima sudah dilaksanakan pada 2019 dan sehingga kini PRIMA tidak lagi lewat melunaskan bayaran kepada kontraktor," katanya.