fb fb fb fb fb

KPKT telah buat 114 pindaan UKBS - Nga Kor Ming

Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 30 November- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan telah membuat Pindaan 2021 terhadap Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) meliputi lima kompenan melibatkan 114 pindaan.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, lima komponen itu adalah Kehendak Menentang Kebakaran sebanyak 73 pindaan, Komunikasi (2), sistem binaan berindustri (17), Pengemukaan Pelan Pemajuan Secara Online (4) dan Kawal Selia Kualiti Pembinaan melibatkan 18 pindaan.

Kesemua pindaan tersebut telah mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun 2021 dan Mesyuarat Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-78 pada 13 Julai 2021.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Wilayah Persekutuan telah membuat tindakan bagi membuat pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1985 supaya selaras dengan peruntukan UUKB (Undang-Undang Kecil Bangunan) Pindaan 2021.

"Status terkini draf pindaan UUKB masih dalam tindakan pengemaskinian untuk dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi semakan dan kelulusan dan selanjutnya diwartakan," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kuin Lun di Dewan Rakyat hari ini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA