fb fb fb fb fb

KPKT sedia bantu penempatan semula 10,301 penduduk setinggan di Johor

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 3 Disember- Kerajaan akan membantu menyelesaikan penempatan semula 10,301 penduduk setinggan di Johor.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan berbincang bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Justeru, kerajaan Johor diminta menyediakan sejumlah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada penduduk setinggan terutama mereka yang tinggal berhampiran sungai.

"Di peringkat negeri Johor ada juga usaha untuk memastikan pemaju memenuhi tuntutan untuk Rumah Mampu Milik (RMM) secara transaksi dan sebagainya.

Maka, di peringkat kementerian pula kita akan buat urusan pemetaan kawasan perumahan dan juga setinggan ini. Kita akan kongsikan bersama kerajaan negeri, sekali gus mencari jalan untuk mengurangkan masalah ini," kata Akmal kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek PPR Cahaya Senibong (Permas Jaya) Johor Bahru.

Sementara itu, Exco negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata penduduk setinggan berkenaan akan melalui proses penapisan ketat dan keutamaan akan diberikan kepada bangsa Johor serta yang telah berada dalam proses menunggu.

Pihaknya akan memberi tumpuan kepada rumah setinggan yang mudah dinaiki air dan berada di tepi kawasan sungai yang berisiko menyebabkan pencemaran.

Setakat ini, sebanyak 21 projek PPR telah siap dan sedang dilaksanakan yang merangkumi 13 projek siap, enam projek dalam fasa pembinaan dan dua projek dalam perancangan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM