KUALA LUMPUR, 23 September – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan dua rekod baharu dalam 'Malaysia Book of Records' (MBOR) sempena sambutan Hari Cuci Malaysia, (HCM) 2025.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, dua rekod itu adalah penyertaan gotong-royong terbesar dengan 100,000 peserta serentak serta pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak di seluruh negara dengan anggaran pengumpulan sehingga 3,000 kilogram (kg) dalam tempoh sehari.
Usaha ini bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran sivik rakyat terhadap kebersihan awam, malah bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kebersihan adalah aspek amat penting dalam industri pelancongan, yang kini menjadi sumber pendapatan kedua terbesar negara.
"Tahun ini, Malaysia dijangka menerima lebih 40 juta pelancong antarabangsa, jumlah tertinggi dalam sejarah mengatasi Thailand dan buat pertama kalinya melebihi populasi rakyat Malaysia sendiri”, katanya dalam sidang media sempena prapelancaran HCM 2025 di Pasar Seni, di sini hari ini.
Tambah beliau, kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan paling popular di Asia, menurut laporan Time Out Magazine dan Tripadvisor, membuktikan usaha kebersihan dan kelestarian perlu diperkasa secara menyeluruh.
Sambutan peringkat kebangsaan HCM 2025 akan berlangsung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson pada 27 September ini dengan pelbagai aktiviti gotong-royong bersama komuniti tempatan.
Program serentak seluruh negara itu turut menekankan amalan kitar semula, pengurangan sisa makanan, serta pengumpulan minyak masak terpakai yang boleh dijadikan biodiesel.
Nga turut menyeru rakyat Malaysia agar memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa tempatan termasuk DBKL, SWCorp, Alam Flora, SWM dan E-Idaman untuk memastikan negara sentiasa bersih, indah dan sejahtera.
“Kita mesti pastikan sampah dibuang pada tempatnya. Jangan sampai tersumbat di longkang, yang akhirnya menyebabkan banjir kilat. Kebersihan adalah tanggungjawab bersama untuk kesejahteraan rakyat dan imej negara di mata dunia,” tegasnya.