fb fb fb fb fb

KPKT lantik PoE bantu tangani isu perumahan negara


PUTRAJAYA, 11 Januari - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik 25 individu termasuk pemain industri yang mempunyai pengalaman luas berkaitan sektor perumahan dalam negara untuk menganggotai Panel Berkepakaran (PoE).

Menurut menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pelantikan itu merupakan satu inisiatif strategik untuk menggabungkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran pelbagai pihak bagi membantu kerajaan melaksanakan dasar dan program perumahan yang terbaik untuk rakyat.

"Saya mengharapkan bahawa Panel of Experts (POE) akan menjadi jawapan kepada pembentukan kepada sebuah model yang baharu dalam aspek ekosistem keseluruhan penyediaan dan pemilikan rumah.

Ia bagi menjayakan agenda yang disebutkan oleh YBPM iaitu menyediakan rumah mampu milik sebanyak 500,000 unit dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12)", katanya dalam Majlis Penyerahan Watikah Panel Pemikir di sini.

Melalui pelantikan ini, satu pendekatan baharu akan dirangka bagi melebarkan akses pemilikan kediaman khususnya kepada generasi muda.

Jelas Datuk Seri Reezal Merican, pelantikan itu bukti kesungguhan dan komitmen KPKT bagi menangani isu perumahan negara serta memastikan aksesibiliti perumahan kepada kumpulan sasar dapat dilaksanakan secara holistik bagi memenuhi aspirasi negara.

PoE dipengerusikan oleh Reezal Merican sendiri manakala bekas Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Tan Sri Ahmad Phesal Talib sebagai Pengerusi Ganti.

Ia turut dianggotai antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Mantan Ketua Setiausaha KPKT, Tan Sri Arpah Abdul Razak dan Mantan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof.

Media Baharu