ALOR SETAR, 9 September - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) komited untuk menangani masalah projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara termasuk di Kedah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, hasil lawatan ke beberapa lokasi di Daerah Kota Setar dan Kubang Pasu mendapati, empat projek perumahan telah mengalami kelewatan dan tidak dapat disiapkan mengikut jadual atas beberapa faktor.
Empat projek berkenaan adalah Taman Malinja dan Taman Harapan di Kota Setar serta Taman Teja 3 dan Taman Setia di Kubang Pasu.
Jelas Datuk Aiman Athirah, projek membina dan menyiapkan 16 unit rumah berkembar satu tingkat di Taman Malinja, yang sepatutnya siap pada Oktober 2023 mengalami kelewatan disebabkan oleh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), kekurangan pekerja selepas Covid-19 dan permohonan pemaju untuk menaiktaraf Loji Rawatan Pembentungan (STP).
Namun, hasil pemantauan menunjukkan bahawa kerja-kerja pembinaan telah siap sepenuhnya.
Pemaju kini telah memperoleh sokongan daripada semua agensi teknikal untuk proses mendapatkan CCC dan sedang menunggu sokongan daripada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Sementara itu, projek perumahan Taman Harapan yang melibatkan pembinaan 12 unit rumah dua tingkat dan 226 unit rumah teres 1 tingkat telah melewati tarikh siap asal pada 1 Jun 2024, menjadikannya berstatus 'sakit.'
Walaubagaimanapun, pemantauan menunjukkan pembinaan hampir siap, kerja-kerja TNB sedang berjalan dan pemaju kini dalam proses mendapatkan CCC penuh.
Katanya, di Kubang Pasu, dua projek sakit iaitu Taman Teja 3 melibatkan pembinaan 12 unit rumah teres 2 tingkat dan 23 unit rumah teres 2 tingkat serta Taman Setia yang terdiri daripada 1 unit rumah sebuah 1 tingkat, 2 unit rumah berkembar 1 tingkat, dan 7 unit rumah teres 1 tingkat.
Kedua-dua projek berkenaan berdepan kelewatan akibat kekurangan tenaga kerja pasca pandemik COVID-19 dan kini dalam proses mendapatkan surat sokongan daripada agensi berkaitan bagi memperoleh CCC penuh.
Tegas Datuk Aiman Athirah, Kementerian, melalui TFST akan terus memantau perkembangan projek-projek ini bagi memastikan tidak timbul masalah berlarutan.
TFST kekal komited sebagai pengantara dan pemudahcara antara pemaju serta agensi terlibat, memastikan penyelesaian dicapai agar pembeli tidak terus terbeban dengan kelewatan penyiapan rumah yang mereka nantikan.