fb fb fb fb fb

KPKT beku 20 akaun HDA

Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Sebanyak 20 akaun berkaitan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) bagi projek kategori sakit telah dibekukan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pembekuaan tersebut berdasarkan siasatan terhadap pemaju yang mengabaikan tanggungjawabnya sekali gus boleh menjejaskan kepentingan pembeli.

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

"Akta 118 dan peraturan-peraturannya telah menggariskan dengan jelas berkaitan HDA dan laporan kewangan yang bertujuan untuk mengurangkan risiko projek menjadi sakit dan terbengkalai. Selain itu, pemaju juga boleh dikompaun sehingga maksimum RM50,000 sekiranya gagal melaksanakan kewajipan sebagaimana peruntukan di dalam Akta 118 dan peraturan-peraturannya.

Sebanyak 284 kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 7 (e) pada tahun 2022 dan 2023," kata Akmal di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan di Parlimen.

Tambahnya, KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) juga sentiasa memastikan pemaju perumahan berlesen patuh terhadap peruntukan yang telah ditetapkan berkaitan HDA.

Antaranya, melalui pemantauan serta semakan Laporan Kemajuan Kewangan pemaju perumahan, selain menjalankan audit secara berterusan bagi pengurusan HDA.

Selain itu, sesi libat urus dari semasa ke semasa bersama Bank Negara Malaysia (BNM), persatuan bank serta institusi kewangan yang lain turut diadakan bagi meneliti prosedur pengurusan HDA.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM