fb fb fb fb fb

KPKM siasat dakwaan anggur mengandungi bahan kimia beracun

Datuk Seri Mohamad Sabu

PASIR PUTEH, 27 Oktober- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menjalankan pemeriksaan lanjut dan menyiasat dakwaan anggur import jenis 'Shine Muscat' yang dikatakan mengandungi bahan kimia beracun.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kajian tersebut akan dilakukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengesahkan dakwaan dibuat agensi di Thailand, sebelum ini.

Langkah itu penting bagi memastikan buah-buahan import berkenaan tidak dicemari racun berbahaya dan sebagainya.
 
Agensi KPKM lain yang akan terlibat ialah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Bahagian Bio Sekuriti Jabatan Pertanian.

"Kita akan pergi kepada pihak yang membuat kajian terutama MARDI dan makmal kita untuk kajian dan pengesahan. Kita akan melihat semua berikutan hal ini memang kerajaan kita amat teliti soal-soal kalau ada apa-apa yang melihat sebagai keracunan dan sebagainya.

"Belum ada pemantauan secara berterusan sebab MAQIS sedang berjalan dan juga MARDI semua badan-badan yang membuat kajian berkenaan keracunan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Kumpulan Pengguna Air (KPA) IADA Kemasin Semerak 2024 kepada 48 ketua tani KPA di Tok Bali, di sini.

Khamis lalu, Rangkaian Amaran Racun Perosak Thai (Thai-PAN) memberi amaran mengenai pencemaran anggur jenis 'Shine Muscat', selepas mendapati kebanyakan sampel didapati mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum dibenarkan.

Sebelum itu Majlis Pengguna Thailand (TCC) membeli 24 sampel anggur popular dari lokasi berbeza termasuk dua dari kedai dalam talian, tujuh sampel dari kedai buah-buahan dan pasar segar dan 15 dari pasar raya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI